Pengalaman seorang Jurumandi Mayat Daerah Gombak, Selangor.
|
Kisah benar ini diceritakan oleh Ustaz Abu Bakar Abdul Aziz. Ia berlaku
di kawasan daerah Gombak di mana jurumandi memandikan jenazah yang agak
kaya orangnya dan berpengaruh. Begini ceritanya :-
|
Saya telah terlibat dalam pengurusan jenazah lebih daripada 20 tahun.
Pelbagai pengalaman telah saya lalui kerana dalam tempoh itu
bermacam-macam jenis mayat yang telah saya uruskan. Ada yang meninggal
dunia akibat kemalangan, sakit tua, sakit jantung, bunuh diri dan
sebagainya. Bagaimanapun, pengalaman menguruskan satu jenazah di sebuah
tempat di sempadan Selangor dan Wilayah Persekutuan beberapa tahun yang
lalu, telah mendedahkan saya kepada satu kes yang cukup 'istimewa'
sepanjang pengalaman saya menguruskan jenazah. Inilah kali pertama saya
bertemu dengan satu jenazah yang cukup aneh, menyedihkan, menakutkan dan
sekali gus menberikan banyak iktibar.
|
Peristiwa tersebut berlaku dua hari lagi sebelum pilihanraya di Serkam,
Melaka. Nama tempat dan nama orang yang meninggal itu tidaklah dapat saya
nyatakan di sini. Ia terjadi secara kebetulan ketika saya diminta oleh
anak Allahyarham menguruskan jenazah bapanya. Pada hari itu, saya pergi ke
rumah seorang sahabat untuk mengubatkan mata ibunya bagi kali yang
terakhir. Niat saya ialah supaya mata ibu tadi sembuh dan boleh membaca
Al-Quran. Tetapi apabila saya hendak pulang, anak Allahyarham datang
menemui sahabat saya tadi dan bertanya sama ada saya mengurus jenazah atau
tidak. Kawan saya kata, "Cubalah tanya dia sendiri." Kawan saya ada
memberitahu saya dua bulan yang lepas bahawa saya sahaja yang mengadakan
kursus dalam hal menguruskan jenazah. Anak Allahyarham menemui saya.
Saya beritahu dia bahawa jenazah tidak elok dibiarkan lama-lama.
|
Saya terus pergi ke rumahnya. Tapi bila saya hampir sampai ke rumah
Allahyarham, saya bau jenazah itu sangat busuk. Baunya cukup pelik dan
busuk. Saya telah menguruskan banyak jenazah tetapi tidak pernah saya
bertemu dengan mayat yang sebusuk ini. Bila saya tengok wajah Allahyarham,
sekali lagi hati saya tersentuh. Saya tengok wajahnya seperti sedang
dirundung oleh bermacam-macam perasaaan...takut, cemas, kesal dan
bermacam-macam lagi. Wajahnya seperti tidak mendapat nur daripada Allah
SWT. Kemudian saya pun ambil kain kafan yang dibeli oleh anak Allahyarham
dan saya potong-potongkan. Secara kebetulan pula, di situ ada dua orang
yang mengikuti kursus pengurusan jenazah yang pernah saya jalankan. Saya
ajak mereka membantu saya dan mereka bersetuju. Tetapi semasa memandikan
mayat itu, peristiwa pertama berlaku. Untuk makluman pembaca, apabila
memandikan jenazah, badan mayat itu perlu dibangunkan sedikit dan perutnya
hendaklah diurut urut untuk membolehkan najis keluar. Maka saya pun urut
urutkan perut Allahyarham. Tapi apa yang berlaku pada hari itu amatlah
mengejutkan. Allah itu Maha Berkuasa kerana pada hari tersebut, najis
tidak keluar daripada dubur mayat tadi tetapi melalui mulutnya. "Lain
macam saja ni", fikir saya. Lalu saya ubah sedikit teknik dan posisi mayat
itu dan saya urut-urutkan lagi perutnya. Tapi najis itu tetap keluar dari
mulutnya. Hati saya berdebar-debar. Apa yang sedang berlaku di depan saya
ini? Telah dua kali mulut mayat ini memuntahkan najis. Saya harap ia tidak
akan berulang lagi kerana saya mahu mengurut perutnya bagi kali yang
terakhir. Tiba-tiba ketentuan Allah berlaku. Bila saya urut perutnya,
keluarlah daripada mulut mayat itu najis bersama beberapa ekor ulat yang
masih hidup. Ulat itu adalah seperti ulat najis. Warnanya putih. Dari mana
datangnya ulat itu, jangan tanya saya.
|
Allahyarham meninggal dunia akibat diserang sakit jantung dan waktu
kematiannya dengan waktu saya menguruskan mayatnya cuma lima jam setengah
sahaja jaraknya. Aneh, bagaimana dalam tempoh yang sebegitu singkat
mayatnya boleh menjadi sedemikian rupa? Saya lihat wajah anak Allahyarham.
Mereka seperti terkejut. Mungkin malu, terperanjat dan aib dengan apa yang
berlaku pada bapa mereka. Saya tengok dua orang pembantu tadi, mereka juga
terkejut dan panik. Lalu saya bacakan doa untuk mengelakkan badi mayat dan
sapukan ke muka mereka. Saya kata kepada mereka, "Inilah ujian Allah
kepada kita". Kemudian saya minta salah seorang daripada pembantu tadi
memanggil kesemua anak Allahyarham. Allahyarham pada dasarnya seorang yang
beruntung kerana mempunyai tujuh orang anak, dan semuanya lelaki.
Seorang berada di luar negeri dan enam lagi berada di sini. Bila semua
anak Allahyarham masuk, saya marahi meraka. Saya mengingatkan mereka
bahawa tanggungjawab saya hanyalah membantu menguruskan jenazah bapa
mereka, bukan menguruskan sepenuhnya tanggungjawab tersebut. Sepatutnya
sebagai anak, merekalah yang lebih afdal menguruskan jenazah bapa mereka
itu, bukannya tok imam, tok bilal, tok siak. Saya kata, mungkin satu masa
dahulu ibu mereka sibuk maka Allahyarham pernah memandikan mereka. Itulah
jasa dan pengorbanan seorang bapa. Tetapi saya kesal kerana dalam
saat-saat begini anak-anak Allahyarham tidak langsung hendak membalas jasa
bapa mereka itu.
|
Saya kemudiannya meminta izin serta bantuan mereka untuk menonggengkan
mayat itu. Takdir Allah, apabila ditonggengkan sahaja mayat tersebut,
tiba-tiba keluarlah ulat-ulat yang masih hidup. Hampir sebesen banyaknya.
Besen itu boleh dianggarkan besar sedikit daripada penutup bilah kipas
meja. Subhanallah....suasana menjadi semakin panik. Saya terus bertenang
dan berharap tidak berlaku lagi kejadian-kejadian yang lebih ganjil.
Selepas itu saya mandikan semula mayat tersebut dan saya ambilkan wuduk.
Saya minta anak-anaknya mengambil kain kafan. Saya bawa mayat tersebut ke
dalam biliknya dan tidak diizinkan seorang pun melihat upacara itu kecuali
waris yang terdekat, sebab saya takut perkara-perkara yang lebih aib akan
berlaku.
|
Takdir Allah jua yang menentukan. Apabila mayat ini diletakkan di atas
kain kafan, saya dapati kain kafan itu cukup-cukup memarasi
hujung kepala dan kakinya, tidak ada lebih. Maka saya tak boleh nak ikat
kepala dan kakinya. Tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa kain
kafan itu seperti tidak mahu menerima mayat tadi. Tidak apalah, mungkin
saya yang silap semasa memotongnya. Lalu saya ambil baki kain, saya
potongkan dan tampungkan di tempat-tempat yang kurang. Memang kain kafan
jenazah itu jadi tidak berapa elok, tetapi apa nak buat Itu sahaja yang
boleh saya lakukan. Pada masa yang sama saya berdoa kepada Allah, "Ya
Allah, jangan Kau hinakan jenazah ini ya Allah, cukuplah sekadar
peringatan kepada hambamu ini". Selepas itu saya berikan taklimat tentang
sembayang jenazah. Tiga kali taklimat diberikan. Yang hadir cuma 13 orang
saja.
|
Selepas menyembahyangkan jenazah tadi, satu lagi masalah timbul. Jenazah
itu tidak dapat dihantarkan ke tanah perkuburan kerana tidak ada kereta
jenazah. Saya hubungi JAWI, JAIS, Pusat Islam, DBKL, Polis dan sebagainya,
tetapi yang peliknya, mereka juga tidak mempunyai kerata jenazah kerana
kereta yang ada sedang digunakan. Dalam keadaan itu, seorang hamba Allah
muncul menawarkan bantuan. Lelaki itu meminta saya menunggu sebentar untuk
membolehkan dia mengeluarkan van dari garaj rumahnya. Kemudian muncullah
sebuah van. Tapi ketika dia sedang mencari tempat untuk meletakkan vannya
itu di kawasan rumah Allahyarham, tiba-tiba isterinya keluar. Dengan
suara yang tegas dia berkata di khalayak ramai, "Abang, saya tak benarkan
kereta saya ini digunakan untuk mengangkat jenazah itu sebab semasa
hayatnya dia tidak pernah benarkan kita naik keretanya". Renungkanlah,
kalau tidak ada apa-apa sebab, tidak mungkin seorang wanita yang lembut
hatinya akan berkata demikian. Jadi saya suruh tuan punya van itu membawa
vannya balik. Selepas itu muncul pula seorang lelaki menawarkan
bantuannya. Lelaki itu mendakwa dia adalah anak murid saya. Dia meminta
izin daripada saya dalam 10-15 minit untuk membersihkan keretanya itu.
Dalam jangka waktu yang ditetapkan itu, muncul kereta tersebut. Tetapi
dalam keadaan yang basah kuyup. Kereta yang dimaksudkan itu sebenarnya
adalah sebuah lori, dan lori itu digunakan oleh lelaki tadi untuk menjual
ayam. Renungkanlah, pernahkan kita melihat satu jenazah dibawa ke kubur
dengan lori ayam? Dalam perjalanan menuju ke kawasan perkuburan, saya
berpesan kepada dua pembantu tadi supaya ahli masyarakat tidak payah
membantu kami menguburkan jenazah tadi. Saya suruh mereka pergi kubur
saudara mara dan sahabat mereka, itu lebih baik. Saya tidak mahu mereka
melihat apa-apa lagi peristiwa ganjil. Rupanya apa yang saya takutkan itu
berlaku sekali lagi - takdir Allah yang terakhir amat memilukan. Bila
sampai sahaja jenazah tersebut ke kuburnya, saya perintahkan tiga orang
anaknya turun ke dalam liang lahad dan tiga lagi turunkan jenazah. Takdir
Allah, apabila jasad jenazah itu mencecah sahaja ke bumi, tiba tiba air
hitam yang busuk baunya keluar dari celah-celah bumi yang pada asalnya
kering. Hari itu tidak hujan, tetapi dari mana datangnya air itu? Sukar
untuk saya menjawabnya. Lalu saya arahkan anak Allahyarham supaya
sendaikan jenazah bapa mereka dengan kemas. Saya takut nanti ia akan
terlangkup....na'uzubillah. Kalau mayat terlangkup, tidak ada harapan
untuk mendapat syafaat Nabi saw.
|
Papan keranda diturunkan dan kami segera kambus kubur tersebut. Selepas
itu kami injak-injakkan tanah supaya mampat dan bila hujan ia tidak
mendap. Tapi sungguh menyayukan, saya perhatikan tanah yang diinjak itu
menjadi becak. Saya tahu, jenazah berkenaan ditenggelamkan oleh air hitam
yang busuk itu. Melihatkan keadaan tersebut, saya arahkan anak-anak
Allahyarham supaya berhenti menginjakkan tanah itu. Tinggalkan dalam suku
meter, timbus dan bataskan. Ertinya kubur itu tidak dikambus hingga ke
permukaan lubangnya, tetapi ia seperti kubur berlubang. Tidak cukup dengan
itu, apabila saya hendak membacakan talkin, saya tengok tanah yang diinjak
itu ada kesan serapan air. Masya-Allah, dalam sejarah hidup saya, inilah
julung-julung kalinya peristiwa seperti itu terjadi. Melihatkan keadaan
itu, saya mengambil keputusan untuk menyelesaikan pengebumian secepat
mungkin. Sejak sekian lama terlibat dalam pengurusan jenazah, inilah mayat
yang saya tidak talkinkan. Saya cuma bacakan tahlil dan doa yang paling
ringkas. Setelah itu saya pulang ke rumah Allahyarham dan himpunkan
keluarganya. Saya bertanya kepada isteri Allahyarham, apakah yang telah
dilakukan oleh Allahyarham semasa hayatnya. Adakah dia pernah menzalimi
orang alim, mendapat harta secara merampas, menipu rasuah, memakan harta
masjid dan anak yatim? Isteri allahyarham tidak dapat memberikan jawapan.
Memikirkan mungkin dia malu untuk memberitahu, saya tinggalkan nombor
telefon rumah saya. Tetapi sedihnya, sehingga sekarang tidak seorang pun
anak-anak Allahyarham menghubungi saya.
|
Untuk pengetahuan umum, anak-anak Allahyarham merupakan orang-orang yang
berpendidikan tinggi sehingga ada seorang yang beristerikan orang Amerika,
seorang dapat isteri orang Australia dan seorang lagi isterinya orang
Jepun. Saya bertambah sedih apabila dua orang yang membantu saya
menguruskan jenazah tadi menelefon saya. Mereka kata mereka menyesal
membantu saya menguruskan jenazah Allahyarham kerana anak-anak Allahyarham
telah menjadikan mereka sebagai musuh. Saya bertanya, adakah mereka
menceritakan kisah itu kepada masyarakat? Mereka kata 'TIDAK'. Peristiwa
ini akan tetap saya ingat sampai bila-bila. Kepada masyarakat, tanyalah
diri kita adakah kita mahu peristiwa itu terjadi pada diri kita sendiri,
ibu bapa kita, anak kita atau kaum keluarga kita? Adakah kita mahu
peristiwa ini berlaku berulang-ulang kali sehingga sampai satu masa
nanti di mana masyarakat menganggap peristiwa ini sebagai perkara biasa?
|
|